Friday, March 29, 2013

Darjat Kucing Di Mata Rasulullah SAW


First of all, tulisan yang berikut ini bukanlah dari saya, tetapi guru saya, Al-Fadhil Ustaz Tuan Asmawi bin Tuan Umar (TATU). Saya kongsikan ilmu beliau di Blog ini untuk tatapan dan penambahan ilmu buat kita semua. Mudah-mudahan bermanfaat. Namun, sebelum itu, sama-samalah kita doakan semoga ustaz saya ini terus Allah berikan kekuatan kepadanya untuk menabur bakti terhadap agama dan anak bangsa. Amin..
Awangku Oren Pengiran Leo


Oleh : Ustaz Tuan Asmawi bin Tuan Umar
Pengasas Imam Muda & Ustazah Pilihan merangkap Pegawai Perhubungan Awam (Kanan) JAWI

Dengan Nama-Mu Yang Esa lagi Tinggi.
Selawat dan salam ke atas Kekasih-Mu serta ahli keluarga serta sahabatnya.
Sesuatu yang dapat dinafikan bahawa setiap individu memiliki hobi dan minat yang tersendiri dalam memenuhi ruang waktu mereka. Hobi dan minat tersebut sudah pasti bertindak sebagai penenang kepada jiwa. Baik, barangkali kenyataan saya hobi dan minat sebagai penenang ini berupaya mengundang tafsiran yang bervariasi dek kerana Islam menyediakan wahana ampuh dalam proses menenang jiwa iaitu dengan membaca serta bertadabbur (menghayati) al-quran,selain mendirikan ibadah-ibadah sunat dan juga melakukan perkara-perkara kebaikan sesama manusia. Tegasnya,ini adalah suatu medium yang tidak boleh disangkal (undeniable) lagi keampuhannya.
Setiap individu perlu ingat bahawa Allah swt menciptakan setiap makhluk-Nya samada makhluk hayy (makhluk yang hidup seperti manusia, binatang dan lain-lain) dan juga makhluk jaamid (makhluk yang beku iaitu tidak bernyawa seperti batu,kayu dan sebagainya) mempunyai kelebihan dan keistimewaan yang tersendiri yang saling memerlukan antara satu sama lain.
Maka disinilah menuntut manusia yang dikurniakan aqal untuk berfikir sambil merenung kehebatan ciptaan-ciptaan Allah swt yang melata di atas muka bumi ini.
Pastinya disebalik ciptaan-ciptaan tersebut bukannya satu tugas dan kerja sia-sia di sisi Allah swt.
Ini ditegaskan menerusi firman Allah swt yang bermaksud “Dan Kami tidak menciptakan langit dan bumi dan apa yang ada di antara keduanya dengan bermain-main.” (Ad-Dukhan: 38).
Maka daripada ayat-ayat dalam Surah Ad-Dukhan tadi sungguh sangat jelas bahawa segala sesuatu yang ada di muka bumi ini dan yang ada di langit serta apa yang ada di antara keduanya tidak ada yang sia-sia. Jadinya untuk siapakah semuanya itu? Untuk memahaminya kita juga boleh merujuk kepada firman Allah swt dalam ayat yang lain pula dengan maksud :
“Dialah yang telah menjadikan bumi terhampar buat kalian dan langit sebagai atap dan Dia menurunkan air hujan dari langit, lalu Dia menghasilkan dengan hujan itu segala buah-buahan sebagai rezeki untuk kalian, kerana itu janganlah kalian mengadakan sekutu-sekutu bagi Allah padahal kalian mengetahuinya.” (Al-Baqarah: 22)
Dalam persoalan ini, adalah amat wajar kita merujuk kepada Ibnu Katsir t dalam Tafsir-nya (1/60) mengatakan: “Allah swt mengeluarkan bagi mereka (dengan air hujan tersebut) segala macam tumbuh-tumbuhan dan buah-buahan yang boleh kita saksikan sebagai rezeki buat mereka dan binatang-binatang ternak mereka sebagaimana yang telah disebutkan di banyak tempat di dalam Al Qur`an.”
Manakala pendapat yang lain turut juga dirujuk pandangan Asy-Syaikh As-Sa’di mengatakan di dalam tafsirnya (hal. 30): “Allah menciptakan segala apa yang ada di atas bumi buat kalian sebagai wujud kebaikan Allah swt bagi kalian dan rahmat-Nya agar kalian juga boleh mengambil manfaat darinya, bersenang-senang dan boleh menggali apa yang ada padanya.” Kemudian beliau mengatakan: “Dan Allah menciptakan semuanya agar manfaatnya kembali kepada kita.”
Tujuan penulis memberi tasawwur (pandangan) awal yang agak sedikit melebar daripada membincangkan langsung kepada topik kucing di sisi pandangan Rasulullah saw adalah bagi merungkai andai ada kekusutan yang berpendapat bahawa dengan membela haiwan jinak seperti kucing akan mengakibatkan banyak waktu-waktu yang sepatutnya dihabiskan itu terbuang dengan aktiviti-aktiviti yang tiada berfaedah seperti salah satunya memelihara kucing. Jadinya,adakah memelihara kucing itu membazirkan masa. Maka penulis ingin menyatakan Sabda Rasulullah Saw yang diriwayatkan dalam Sunan Abu Daud dan Sunan At-tirmidzi – Nabi s.a.w. Sabda: “Kucing itu bukan najis, ia adalah binatang yg sering berdampingan dengan manusia.”
Sebagai manusia yang memerlukan belaian manja bukan sahaja daripada manusia malah juga haiwan peliharaan jinak seperti kucing dan sebagainya sudah pasti manusia akan meletakkan nama (tasmiyah) kepada haiwan peliharaannya,jika di kalangan masyarakat Melayu biasanya dinamakan Tompok,Danny,John,dan pelbagai lagi.
Justeru,tidak kurang juga Baginda Rasulullah SAW yang menamakan kucing kesayangan peliharaan Baginda dengan Muizza. Bukti sayangnya Baginda terhadap Muizza (kucing kesayangan) ialah pernah suatu ketika Baginda Rasulullah SAW ingin mengambil jubah,tetapi berkebetulan pada waktu Muizza sedang tidur nyenyak di atas lengan jubah Baginda. Maka,dengan senang hati Baginda memotong lengan jubah baginda untuk tidak menganggu Muizza yang sedang tidur. Betapa hebatnya pekerti kekasih Allah swt ini,dengan haiwan disantuni,dengan sahabat taulan disayangi malah musuh juga dikasihi.
Sebagai makhluk ciptaan Allah swt juga,Muizza iaitu kucing baginda itu memiliki hak untuk berterima kasih kepada tuannya ketika mana Baginda Rasulullah SAW kembali ke rumah, Muizza terbangun dan seolah-olah seperti menunduk hormat kepada tuannya. Sebagai balasan, Nabi menyatakan kasih sayangnya dengan mengusap lembut ke badan kucing itu sebanyak tiga kali.
Dalam situasi yang demikian, pada ketika mana Baginda Rasulullah SAW menerima kunjungan tetamu di rumahnya, Baginda SAW selalu menggendong Muizza dan diletakkan di pahanya. Kucing juga makhluk Allah swt yang barangkali punyai cara untuk menagongkan pencipta-Nya.Salah satu sifat Muizza yang Baginda tertarik dan menggemari ialah ia selalu mengiau ketika mendengar laungan azan, dan seolah-olah suaranya terdengar seperti mengikuti lantunan suara azan.
Masyaallah, hebatnya, kucing pun sanggup berusaha untuk mengikuti laungan dan menjawab azan, apakah beratnya mulut kita selaku manusia yang dikurniakan pancaindera sebutan yang hebat fasih, sedangkan azan begitu sukar untuk dijawab,lebih malang lagi tidak dihormati.
Sehubungan dengan itu,kepada para sahabatnya, Baginda SAW sering berpesan untuk menyayangi kucing kesayangan yang layaknya menyayangi keluarga sendiri. Oleh sebab itulah,hukuman bagi mereka yang menyakiti haiwan manja ini sangatlah serius, dalam sebuah hadis sahih Al-Bukhari, dikisahkan tentang seorang wanita yang tidak pernah memberi makan kucingnya, dan tidak pula melepas kucingnya untuk mencari makan sendiri, Nabi Muhammad SAW pun menjelaskan bahawa hukuman bagi wanita ini adalah siksa neraka.Mohon dihindari dan dijauhkan oleh Allah swt.
Perkara ini Ibnu Umar ra meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Seorang wanita dimasukkan ke dalam neraka kerana seekor kucing yang dia ikat dan tidak diberikan makan bahkan tidak dibenarkan makan binatang-binatang kecil yang ada di lantai,” (HR. Bukhari).
Apalah sangat yang perlu kita gusarkan sedangkan Baginda Rasulullah SAW sendiri menekankan di beberapa hadis bahawa kucing itu tidak najis. Bahkan dibenarkan untuk berwudhu menggunakan air bekas minum kucing kerana dianggap suci.
Tegasnya,dalam kehidupan setiap insan ini selain berkomunikasi sesama manusia , dengan alam sekeliling , maka tidak ketinggalan juga makhluk ciptaan Allah swt yang turut mewarnai ekosistem alam yang menampakkan lagi kehebatan dan keagongan Allah swt.Sekian,Wallahu’alam.

No comments: