Perkara-perkara yang biasanya menjadi bahan
kesombongan sebagaimana yang dinyatakan didalam Kitab Ihya Ulumuddin - hasil
tulisan Al-Imam Al-Ghazali; terdapat 7 perkara, iaitu Ilmu Pengetahuan, Amalan
dan Peribadatan, Keturunan, Keindahan dan Kelebihan Pada Bentuk Fizikal, Harta
Kekayaan, Kekuatan Fizikal dan Kuasa atau Pengaruh.
1)
Dalam aspek ilmu pengetahuan, lazimnya kesombongan itu berlaku apabila seseorang
itu telah mendapat pengiktirafan daripada masyarakat tentang ilmu yang ada
padanya. Mungkin apabila orang memberi 'title' ustaz, orang alim atau
sebagainya, pada anggapannya dia benar-benar telah berilmu. Lantas, orang yang
sombong inipun menganggap orang lain itu bodoh dan jahil
Sebaliknya, haruslah disedari bahawa menuntut
ilmu pengetahuan bagi seorang muslim sebenarnya adalah untuk membawa diri dan
jiwanya kepada suatu keinsafan tentang kedudukannya sebagai seorang hamba dan
kedudukan Tuhannya sebagai Pencipta. Ilmu pengetahuan yang dimilikinya
seharusnya akan menambahkan lagi nilai ketakwaan kepada Allah s.w.t.. Seiring
dengan firman Allah yang bermaksud;
"Sesungguhnya yang
takut kepada Allah di antara hamba-hambaNya hanyalah ulama."
(Al-Fathir:28)
2)
Amalan dan peribadatan. Memang tidak dinafikan, apabila masyarakat mengiktiraf
seseorang itu sebagai orang warak dan bertakwa, bagi mereka yang sombong dan
takabbur, dia akan mengira-ngira dia telah banyak melakukan amal ibadat. Dia
akan mengharapkan agar dia diberi keutamaan dalam majlis-majlis tertentu,
diraikan dan diberi puji-pujian oleh masyarakat.
3)
Keturunan atau salasilah. Tanpa sedar, manusia lazimnya akan berbangga dengan
keturunan mereka seperti daripada kerabat diraja, golongan aristokrat, bangsawan
dan sebagainya. Perasaan ini secara tanpa sedar juga pernah dialami oleh seorang
sahabat Rasulullah s.a.w., yakni Abu Dzar. Beliau berkata;
"Pada
suatu hari, ketika aku berada di hadapan Rasulullah s.a.w., datanglah seorang
yang berkulit hitam. Lantas saya menyapanya, "Hai anak orang hitam" Apabila
Rasulullah s.a.w. terdengar sahaja aku menyebut anak orang hitam, baginda
menempelakku dengan mengatakan; Hai Abu Dzar, tidak ada kelebihan bagi seseorang
yang berketurunan kulit putih di atas orang yang berketurunan kulit hitam.
Alangkah menyesalnya aku apabila telah terlanjur mengucapkannya. Lalu akupun
membaringkan tubuhku dan berkata kepada orang tersebut; Nah saudara, pijaklah
pipiku ini."
4)
Kecantikan atau ketampanan. Kesombongan atas sebab ini amat mudah untuk diterima
oleh sesiapa sahaja. Suatu anugerah yang Allah berikan sejak dari manusia
dilahirkan. Orang yang cantik atau tampan mudah sahaja menjadi tumpuan
orang-orang yang berada di sekelilingnya. Seseorang yang tidak mempunyai iman
yang kuat, sudah pasti amat mudah merasa bangga dan sombong dengan apa yang ada
padanya.
5)
Kesombongan amat mudah berlaku di kalangan mereka yang berada dan kaya. Terdapat
satu kisah yang menceritakan tentang perkara ini yang boleh dijadikan sebagai
suatu pengajaran;
Abu
Bakar Al-Hazali berkata:
"Suatu
hari kami bersama Hassan. Lalu Ibn al-Ahlam datang kepada kami hendak bercukur.
Dia memakai jubah sutera tersusun di atas betis, tersingkap pula bahagian
luarnya. Dia berjalan berlenggang. Perbuatannya yang sedemikian itu dilihat oleh
Hassan, lalu Hassan pun berkata: "Sombongnya, dia memalingkan pipi dan
menampakkan kebodohannya. Engkau akan terlihat kebodohanmu dalam nikmat yang
tidak disyukuri dan tidak menggunakannya sesuai dengan perintah Allah serta
tidak pula memberikan haknya pada setiap yang memerlukan. Nikmat itu hak Allah
dan dengannya syaitan sentiasa mencari mangsa. Demi Allah, seseorang yang
berjalan dengan wataknya atau bergerak seperti orang gila itu lebih baik
daripada ini." Ibn al-Ahlam mendengar lalu dia kembali dan minta maaf kepadanya.
Hassan berkata, "Jangan kau minta maaf padaku, tapi bertaubatlah kepada Allah.
Tidakkah engkau dengar firman Allah,
(Yang
maksudnya berbunyi) :"Janganlah engkau berjalan di muka bumi dengan sombong,
sesungguhnya engkau itu tiada dapat menembusi bumi dan tidak akan engkau sampai
setinggi gunung." (Al-Isra' :37)
6)
Kekuatan dan keperkasaan tubuh. Manusia amat mudah merasa amat bangga dan
sombong apabila memiliki tubuh yang kuat dan perkasa. Kelebihan yang dimilikinya
kadang-kadang menjadi bahan untuk mengancam orang lain yang lebih lemah atau
untuk memaksa orang-orang yang lebih lemah menuruti kemahuannya. Di dalam hal
ini, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud;
"Orang
yang paling gagah perkasa di antara kamu semua ialah orang yang dapat
mengalahkan nafsunya pada waktu marah dan orang yang tersabar di antara kamu
semua itu ialah orang yang suka memaafkan kesalahan orang lain padahal ia mampu
untuk membalasnya."
7)
Manakala perkara yang terakhir sekali yang dinyatakan oleh Imam al-Ghazali
sebagai perkara yang boleh menimbulkan kesombongan ialah pengaruh ataupun
kuasa.
Pemimpin yang tertipu dengan perasaannya,
walau di peringkat mana sekalipun kepimpinannya akan merasa bahawa dirinya sudah
cukup hebat berbanding orang lain.
Rujukan :
Blog Referensi Agama
|
No comments:
Post a Comment