Thursday, September 6, 2012

Mulianya Peribadimu Ya Rasululah..



Dibawah Kubah Hijau, Masjid Nabawi Madinah Al-Munawwarah inilah terletaknya makam Baginda Rasulullah SAW yang mulia, bersama-sama Saidina Abu Bakar As-Siddiq dan Saidina Umar Al-Khattab.




Kalau ada pakaian yang koyak, Baginda Rasulullah SAW akan menampal dan menjahitnya sendiri tanpa perlu menyuruh dan menyusahkan isteri Baginda. Rasulullah SAW yang mulia juga memerah susu kambing untuk keperluan keluarga mahupun untuk dijual.


Setiap kali pulang ke rumah, apabila dilihat tiada makanan yang tersedia untuk dimakan, sambil tersenyum Baginda SAW akan menyingsing lengan baju dan membantu isteri Baginda di dapur. Sayidatina 'Aisyah menceritakan, setiap kali Nabi Muhammad SAW berada di rumah, Baginda akan ringan tulang membantu urusan rumahtangga. Jika mendengar seruan azan, Baginda akan bersegera ke masjid, dan bersegera pula kembali ke rumah sesusah selesai solat.

Pernah pada suatu pagi, apabila Rasulullah SAW pulang ke rumah daripada masjid dalam keadaan lapar, Baginda mengharapkan ada makanan buat alas perut. Namun, sesampainya di rumah, tiada apa-apa yang boleh dijadikan sarapan, isteri Baginda pula ketika itu masih belum ke pasar untuk membeli makanan. Lantas Baginda bertanya, "Belum ada apa-apa untuk sarapan, ya Humairah?" - ("Humairah" adalah gelaran yang Rasulullah SAW berikan kepada Sayidatina 'Aisyah, yang membawa maksud "Wahai yang kemerah-merahan")

Sayidatina 'Aisyah menjawab dengan rasa serba salah, " Belum ada apa-apa, wahai kekasih Allah.". Tanpa sedikit pun rasa kesal dan sambil tersenyum manis, Baginda bersabda,"Jika begitu, aku berpuasa sahaja hari ini."

Begitu sabar, baik dan lemah lembutnya Baginda Rasulullah terhadap isteri. Namun begitu, Rasulullah SAW akan menjadi sangat marah apabila terlihat kekejaman rumahtangga. Pernah pada suatu hari Baginda ternampak seorang lelaki memukul-mukul isterinya. Baginda lantas menerpa kearah lelaki tersebut dan menegurnya,"Mengapa engkau memukul isterimu?" Lantas dijawab dengan gementar,"Isteriku sangat keras kepala. Sudah berulang kali aku menasihatinya, tetapi dia tetap tidak endah. Maka, aku pukul dia".
"Aku tidak bertanya alasanmu", sahut Baginda SAW. "Aku menanyakan kepadamu, mengapa engkau memukul teman tidurmu dan ibu bagi anak-anakmu?"

Rasulullah SAW pernah bersabda,"Sebaik-baik lelaki adalah yang paling baik dan lemah-lembut terhadap isterinya."

Prihatin, sabar dan tawadhuknya Baginda SAW dalam menjadi ketua keluarga tidak menampakkan kedudukannya sebagai pemimpin umat. Pada suatu ketika Baginda sedang mengimamkan solat. Dilihat oleh para sahabat, pergerakan Baginda antara satu rukun ke rukun yang lain amat payah. Malah kedengaran bunyi menggeretak, seolah-olah setiap sendi dalam batang tubuh Baginda yang mulia itu sedang bergeseran antara satu sama lain. Para sahabat merasa sangat sedih dan menangis kerana memikirkan bahawa Rasulullah mungkin sedang menderita sakit.

Tidak tahan melihat keadaan Baginda, Saidina Umar Al-Khattab langsung bertanya sesudah solat,"Ya Rasulullah, kekasih Allah, buah hati kami, sesungguhnya kami melihat seolah-olah Engkau menanggung derita yang amat berat. Tuan sakitkah, ya Rasulullah?"

"Tidak, wahai Umar. Alhamdulillah, aku sihat dan segar." jawab baginda.

"Ya Rasulullah, mengapa setiap kali tuan menggerakkan tubuh, kami mendengar seolah-olah setiap sendi di tubuh tuan itu bergeseran sesama sendiri? Kami yakin tuan sedang sakit!" Desak Saidina Umar Al-Khattab dengan penuh cemas.

Akhirnya Baginda Rasulullah SAW mengangkat jubahnya. Para sahabat sangat terkejut! Perut Baginda yang kempis, kelihatan dililiti sehelai kain yang berisi batu-batu kerikil, buat menahan rasa lapar. Batu-batu kerikil kecil itulah yang menghasilkan bunyi-bunyi menggeretak setiap kali Baginda menggerakkan tubuh Baginda.

"Ya Rasulullah! Apakah apabila tuan menyatakan lapar dan tidak punya makanan, kami tidak akan mendapatkannya buatmu?!". Para sahabat bertambah pilu dan sedih melihat keadaan insan istimewa itu.

Lalu Baginda SAW menjawab dengan lembut,"Tidak para sahabatku. Aku tahu, apa pun akan engkau korbankan demi Rasulmu. Tetapi, apakah akan aku jawab di hadapan Allah SWT nanti, apabila aku sebagai pemimpin, menjadi beban kepada umatnya?"

"Biarlah kelaparan ini sebagai hadiah Allah buatku, agar umatku kelak tiada yang kelaparan di dunia ini, lebih-lebih lagi tiada yang kelaparan di akhirat."

Baginda SAW pernah, tanpa rasa canggung sedikitpun makan di sebelah seorang tua yang penuh kudis, miskin dan kotor. Baginda juga hanya diam dan bersabar tatkala kain rida' Baginda direntap kasar seorang Arab Badwi sehingga meninggalkan kesan kemerahan di leher Baginda yang mulia. Rasulullah SAW juga, dengan penuh rasa kehambaan, mencuci tempat yang dikencing oleh seorang Arab Badwi di dalam masjid sebelum menegurnya dengan baik dan lemah lembut.

Mengenangkan peribadi mulia yang amat halus ini, timbul persoalan dalam diri kita, adakah lagi bayangan keperibadian sebegini pada hari ini? Apakah rahsia yang menjadikan jiwa dan akhlak Baginda begitu indah? Apakah yang menjadi rahsia kehalusan akhlak Baginda sehingga sangat memikat dan menjadikan nilai kecintaan dan kerinduan kepada Baginda begitu meninggi dan menebal? Apakah kunci kehebatan peribadi Rasulullah SAW yang bukan sahaja sangat bahagia kehidupannya, walaupun saat susah dan derita? Bahkan mampu pula membahagiakan orang lain tatkala dalam derita.

Kecintaan Baginda yang sangat hebat terhadap Allah SWT dan rasa kehambaan yang sudah menyatu dalam diri Baginda SAW menolak sama sekali rasa ketuanan, seolah-olah anugerah darjat kemuliaan yang diberikan Allah SWT kepada Baginda tidak dijadikan sebab untuk merasa lebih dari yang lain, ketika dikhalayak ramai maupun bersendirian.

Ketika pintu Syurga terbuka seluas-luasnya untuk baginda, Rasulullah SAW masih lagi bangun qiyam di waktu-waktu sepi malam hari, terus-menerus menyatakan kesyukuran, memohon keampunan, mengharapkan keredhaan Allah SWT dan mendoakan kesejahteraan umat Baginda. Sehingga pernah Baginda terjatuh lantaran kakinya yang sudah bengkak-bengkak, tubuhnya tidak mampu menanggung kemahuan jiwanya yang tinggi. Ketika ditanya Sayidatina 'Aisyah," Ya Rasulullah, bukankah tuan sudah dijamin masuk Syurga? Mengapa masih perlu bersusah payah sebegini?"

Sabda Rasulullah SAW dengan penuh kasih saya,"Ya Humairah, bukankah aku ini hanya seorang hamba? Sesungguhnya aku ingin menjadi hamba-Nya yang bersyukur"..

Sesungguhnya kami rindu padamu, wahai Kekasih Allah, buah hati kami...



(Kredit : Sumber asal keseluruhan teks ini, dengan sedikit suntingan adalah daripada Blog Peribadi Rasulullah. Jakallahu Khairan Kathira..)

No comments: